PRK Slim: Tun M akan bantu kempen calon Bebas

Amir Khusyairi sempat memenuhi jemputan perkahwinan Nurul Haziqah dan Muhammad Amirul Aizar dalam kempennya di Felda Gunung Besout 1 hari ini.
Amir Khusyairi sempat memenuhi jemputan perkahwinan Nurul Haziqah dan Muhammad Amirul Aizar dalam kempennya di Felda Gunung Besout 1 hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun membantu kempen calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini.

Menurut Amir Khusyairi, tarikh yang tepat untuk kehadiran bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun belum dapat diputuskan.

"Tun M sangat berminat untuk hadir (kempen), tetapi (tarikh) belum dimuktamadkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya kehadiran bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada hari ketiga kempen di sini hari ini.

Beliau berkata, kempen yang digerakkannya mendapat kerjasama penuh pemimpin tempatan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Saya sudah bertemu dengan pemimpin tempatan terutama daripada parti-parti PH, mereka telah menzahirkan sokongan kepada saya untuk berkempen sehabis mungkin.

"Ingat pada Khamis minggu lalu, ketika pengumuman calon, hampir kesemua wakil-wakil parti komponen menyatakan sokongan dan sanggup berkempen habis-habisan bersama saya," katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri majlis perkahwinan antara Nurul Haziqah Mohd Asri dan Muhammad Amirul Aizar Mohd Zawavi masing-masing berusia 21 tahun di Felda Gunung Besout 1 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyatakan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu rakyat terutama perkampungan orang asli di kawasan DUN Slim ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu membabitkan infrastruktur termasuk kemudahan elektrik dan bekalan air bersih melibatkan empat kampung itu antara fokus yang perlu diketengahkan sekiranya beliau dipilih nanti.

Katanya, PRK DUN Slim ini antara platform terbaik untuk membawa isu rakyat berikutan mendapat liputan meluas di seluruh negara.

"Isu ketiadaan sumber elektrik ini pada tahun 2020 sepatutnya tidak ada sekarang. Begitu juga dengan isu banjir 52 tahun yang tidak diselesaikan serta jalan raya yang menghubungkan ladang-ladang. Ini antara isu pengundi beritahu saya semalam.

"Isu-isu berkenaan masalah rakyat tidak lari daripada tanggungjawab bukan sahaja kepada seorang wakil rakyat malah seorang yang menawarkan diri sebagai calon.

"Ambil peluang ini beritahu masyarakat apa sahaja masalah yang ada di sini, saya pasti setiap calon perlu bertanggungjawab jalankan amanah ini nanti sekiranya terpilih. Untuk saya, saya bersedia," katanya.