Pembukaan sempadan: Teliti keperluan pengangkutan awam

Ka Siong (tengah) dan Hang Soon (kanan) beramah mesra dengan seorang murid selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, Ecoworld, Pasir Gudang hari ini.
Ka Siong (tengah) dan Hang Soon (kanan) beramah mesra dengan seorang murid selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, Ecoworld, Pasir Gudang hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan akan meneliti keperluan pengangkutan awam untuk beroperasi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini selepas sempadan Malaysia-Singapura dibuka esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penelitian mengenai keperluan perkhidmatan tersebut perlu dilakukan kerana ketika ini pihaknya tidak pasti berapa ramai yang memerlukan pengangkutan awam.

"Apabila sempadan buka, sudah tentu kita (kerajaan) akan bekalkan pengangkutan awam. Mesti ada percaturan yang rapi dan apabila melihat adanya permintaan akan ada pergerakan (pengangkutan).

"Saya perlu semak perancangan setakat ini. Mungkin akan beransur-ansur benarkan. Kalau ada permintaan rasanya tiada masalah. Bermakna persetujuan kedua-dua negara (membenarkan pengangkutan awam beroperasi) namun tertakluk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita tidak mahu apabila pengangkutan awam dibenarkan beroperasi tetapi tiada penumpang, ini akan merugikan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, Ecoworld di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mah Hang Soon; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim WAh serta Pengerusi Lembaga Pengurus sekolah itu, Wong Tong Huat.

Esok sempadan Malaysia-Singapura fasa pertama akan dibuka membabitkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan jumlah 50 atau 60 orang sehari dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan jumlah 2,000 orang sehari.

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, kerajaan menerusi pelbagai agensi bersiap sedia sepenuhnya dan pembukaan sempadan secara berperingkat-peringkat itu akan membantu sektor ekonomi tempatan termasuk pengangkutan awam.

Sementara itu, mengenai masalah yang timbul berkenaan cukai tanah membabitkan tapak SJKC Ladang Grisek semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini, beliau berkata, perkara tersebut sudah selesai dan tiada isu yang 'serius' sebenarnya.

Katanya, kerajaan terdahulu tidak faham dengan status tapak sekolah itu yang berkeluasan kira-kira 2.41 hektar dan dibangunkan dengan kos lebih RM11 juta termasuk RM.7.5 juta adalah disubsidi sepenuhnya oleh Eco World Develoupment Group Berhad.

Menurutnya, SJKC itu unik kerana 67 peratus daripada 406 muridnya bukan kaum Cina iaitu majoritinya Melayu melibatkan 143 murid; Cina (129) dan India (29) manakala murid daripada etnik bumiputera Sabah dan Sarawak (104 murid).

"Sekolah ini beroperasi pada 1 Mac 2020 dan pada tahun depan bilangan murid bertambah menjadi 600 orang manakala tahun berikutnya menjadi 700 orang. Sekolah ini boleh membuatkan 800 murid yang mempunyai 30 bilik darjah dan mempunyai pelbagai kemudahan," katanya.