Wanita putih mata, wang simpanan RM2.4 juta lesap

Wanita berkenaan hanya menyedari dirinya ditipu Rabu lalu. - Foto hiasan 123RF
Wanita berkenaan hanya menyedari dirinya ditipu Rabu lalu. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

SERDANG - Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM2.4 juta lesap selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Telekom.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam kejadian itu, mangsa wanita berusia 60 tahun telah menerima panggilan pada 7 April lalu daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai kakitangan Telekom dengan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan bil.

"Suspek kemudian kononnya telah menyambungkan talian ke Balai Polis Kuantan dan memberitahu mangsa terlibat dalam kegiatan pengedaran kad kredit palsu dan pengubahan wang haram.

"Mangsa yang takut telah mengikuti arahan suspek sebelum memindahkan wang simpanan miliknya berjumlah RM2.4 juta ke dalam 23 akaun bank milik individu yang tidak kenali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, mangsa bagaimanapun hanya menyedari dirinya tertipu pada Rabu lalu.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihatkan supaya masyarakat jangan panik dengan panggilan sebegini. Sebaiknya hubungi terus pihak yang berkenaan seperti bank, institusi kewangan atau polis bagi membuat pengesahan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: