Keputusan PRK DUN Slim dijangka jam 10 malam 29 Ogos ini

Calon BN, Mohd Zaini Aziz (kiri) bergambar bersama dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (tengah) dan S.Sentharasekaran selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini. Foto: Bernama
Calon BN, Mohd Zaini Aziz (kiri) bergambar bersama dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (tengah) dan S.Sentharasekaran selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dijangka diumum pada jam 10 malam, 29 Ogos ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.

Beliau berkata, SPR juga menjangkakan kira-kira 70 peratus pemilih akan keluar mengundi pada hari pengundian.

“SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan pada PRK ini termasuk memaklumkan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang digalakkan seperti tercatat pada kad pengundi bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan penjarakan fizikal,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK DUN Slim di sini hari ini.

Beliau berkata, garis panduan pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) turut dikuatkuasakan di pusat-pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Dalam pada itu, beliau berharap aktiviti berkempen yang bermula hari ini akan berjalan dengan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Azmi berkata, SPR telah menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan pencegahan Covid-19.

"Seramai 40 pemerhati pilihan raya daripada 11 organisasi termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan juga dilantik untuk memantau perjalanan proses pilihan raya itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, serta bekas guru, S Sentharasekaran, 44 tahun. - Bernama