Pejuang bakal jadi ‘kingmaker’

Dr Mahathir (tiga dari kiri) bersama bekas ahli Parlimen dan Senator yang digugurkan keahlian Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.
Dr Mahathir (tiga dari kiri) bersama bekas ahli Parlimen dan Senator yang digugurkan keahlian Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan parti baharu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu menjadi kingmaker dalam menentukan kemenangan mana-mana pakatan parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, beliau menjangkakan parti baharu Dr Mahathir iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berupaya menjadi kuasa politik ketiga berpengaruh sekiranya disokong kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di sebalik pandangan sinikal ramai pihak yang memandang rendah kemampuan Dr Mahathir, Ahmad Atory berkata, beliau mendapati langkah politik terkini bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu sebenarnya mampu mengurangkan kekuatan parti-parti Melayu termasuk UMNO.

“Pada pandangan saya, lagi banyak parti ditubuhkan berasaskan kaum Melayu, lagi lemah perpaduan dan pengaruh parti-parti Melayu.

Ahmad Atory
Ahmad Atory

“Apabila lemah, siapa yang kuat sedikit dia akan menjadi kingmaker. Sebab itu, Dr Mahathir tubuh sebuah parti baharu untuk menarik golongan Melayu atas pagar dan penyokong beliau. Ia bertujuan mengurangkan kekuatan parti-parti Melayu sekali gus memberi kelebihan kepada partinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas impak penubuhan parti Pejuang yang dianggotai Dr Mahathir serta lima lagi ahli Parlimen yang digugurkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penubuhan parti Pejuang itu tercetus susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi berjaya dalam permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan Dr Mahathir dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

Penubuhan parti baharu itu mendapat reaksi negatif ramai pemimpin politik termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Rais Yatim.

Mereka menyifatkan penubuhan parti Pejuang tidak akan memberi sebarang impak pada PRU15, ditolak rakyat Malaysia dan sekadar bertujuan memecah-belahkan orang Melayu.

Sementara itu, Ahmad Atory berkata, Dr Mahathir menggunakan strategi politik hampir sama ketika PRU14 dengan penubuhan Bersatu bersama Muhyiddin dan berjaya menjadi kingmaker dalam Pakatan Harapan (PH), seterusnya membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, dalam konteks menjadi kuasa ketiga pada PRU15, Dr Mahathir sebenarnya mempunyai kelebihan tambahan apabila parti baharunya tidak lagi menjalinkan kerjasama politik dengan DAP iaitu parti yang secara rasmi diketahui kurang disenang oleh orang Melayu.

“Bagaimanapun, usaha pengukuhan parti Pejuang perlu disusuli dengan sokongan kumpulan Mohamed Azmin yang difahamkan sedang dalam perkiraan untuk menubuh sebuah parti baharu atau pihak lain yang dirasakan relevan.

“Dalam konteks Azmin, saya melihat beliau masih berkira-kira untuk tubuh parti baharu susulan sambutan diterima dalam beberapa program jelajah atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO) seperti Penggerak Komuniti Negara termasuk di Sabah, difahamkan kurang memberangsangkan.

“Sekiranya Dr Mahathir boleh memposisikan parti dalam keadaan terbaik dalam masa singkat, ia akan memberi kesan terhadap masa hadapan Azmin, termasuk keputusan beliau menubuhkan parti baharu menjelang PRU15,” katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang menyifatkan gerak politik Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik licik dan berpengalaman masih berpotensi memberi impak besar kepada politik tanah air.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

Mohd Yusri berkata, sokongan ahli-ahli Bersatu di peringkat akar umbi terhadap Dr Mahathir sebenarnya masih kuat, cuma tidak dijelmakan ketika ini kerana beliau berada di luar parti.

“Saya juga percaya Dr Mahathir akan merintis koalisi politik baharu, lagipun masa depan politik Bersatu itu sendiri masih kabur apabila Perikatan Nasional (PN) gagal didaftarkan dan UMNO terus menolak pembabitan parti itu,” katanya.

Mohd Yusri berkata, kerjasama dalam koalisi kuat membolehkan parti Pejuang terus relevan untuk menghadapi PRU15 walaupun secara individu parti itu tiada sokongan kuat.

Menurutnya, kedudukan PH sekarang juga tidak kuat apabila berlaku krisis dalaman yang semakin sukar untuk sembuh antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Dengan kondisi sekarang, saya percaya PH tidak memiliki momentum kuat untuk menyaingi UMNO, Pas dan Bersatu dalam PRU15 akan datang kerana kekuatan PH sudah tepu.

“Situasi sebegini juga akan membuka ruang kepada Dr Mahathir untuk merintis kerjasama baharu dengan pelbagai pihak sama ada Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak, kumpulan Azmin dan kumpulan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dalam parti itu.

Keajaiban

“Jika Dr Mahathir berjaya melakukan keajaiban sekali lagi dengan menyatukan parti-parti itu dalam satu gabungan baharu, keberadaan parti Pejuang dalam landskap politik Malaysia bukan lagi kecil anak, bahkan berpotensi mencetus momentum besar,” katanya.

Pandangan berbeza pula diutarakan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menjangkakan Dr Mahathir akan hilang terus daripada radar politik Malaysia selepas berakhirnya PRU15.

“Realiti politik Malaysia menunjukkan negara sedang menuju ke arah sistem dua parti dengan blok ketiga tidak menjadi pilihan dan memberi keyakinan kepada pengundi.

“Tanpa berpakat dengan PH dan PN, parti baharu ini dijangkakan bukan sahaja akan gagal merebut kerusi baharu tetapi akan turut gagal mengekalkan enam kerusi sedia ada iaitu Parlimen Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Muar, Sri Gading dan Simpang Renggam,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, pendekatan isu rasuah yang cuba dijuarai parti Pejuang sudah tidak lagi relevan berbanding isu rasuah yang diperjuangkan Dr Mahathir pada saat beliau menubuhkan Bersatu.

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman

“Pengoperasian parti baharu ini memerlukan masa, tenaga dan kos yang banyak kerana ia memerlukan pencarian ahli serta penubuhan organisasi di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat yang bukan merupakan satu kerja senang kerana perlu bermula dari awal.

“Dr Mahathir hanya akan membuang masa, tenaga dan kos untuk menubuhkan parti baharu itu, sedangkan beliau sepatutnya boleh mengatasi semua masalah dengan mudah dengan menyertai parti politik sedia ada," katanya.