Kembalikan Tabung Haji di landasan asal

Syarikat pengusaha pakej umrah dan haji mahu Tabung Haji kembali ke landasan asal penubuhan.
Syarikat pengusaha pakej umrah dan haji mahu Tabung Haji kembali ke landasan asal penubuhan.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengusaha pakej umrah dan haji mahu melihat polemik Tabung Haji (TH) bukan sekadar diselesaikan segera, sebaliknya perubahan menyeluruh perlu diberi perhatian demi mengembalikan agensi pengurus dana Islam itu ke landasan asal.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar diteruskan, bagaimanapun ia tidak mampu mengubah sistem pengurusan TH yang disifatkan lari daripada asas penubuhannya. Beliau berkata, penyelesaian polemik tersebut perlu untuk membawa TH kembali kepada matlamat asal tanpa penglibatan pihak yang tidak berkeupayaan.

“Penubuhan RCI bagus untuk kita cari apa yang berlaku. Tapi itu yang sudah berlaku, banyak lagi perkara yang sedang dan akan berlaku.

“Jadi TH perlu berubah bukan setakat pihak atasan tetapi pengurusan dan konsepnya. Ahli lembaga pengarah perlu dilantik dalam kalangan mereka yang betul-betul berminat dan ada idea untuk memberi keuntungan kepada TH.

“Bukan hanya sekadar hadir mesyuarat, cukup bulan terima elaun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

TH adalah satu-satunya harapan umat Islam di Malaysia yang diyakini patuh syariah dalam pengurusan kewangan pelaburan. Gambar hiasan.
TH adalah satu-satunya harapan umat Islam di Malaysia yang diyakini patuh syariah dalam pengurusan kewangan pelaburan. Gambar hiasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fadlim Travel and Tours Sdn Bhd, Abdul Halim Md Salleh senada dengan Razali yang mahu melihat TH kembali ke landasan yang tepat.

Menurut Abdul Halim, TH merupakan satu-satunya harapan umat Islam di Malaysia yang diyakini patuh syariah dalam pengurusan kewangan pelaburan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai yang sejak lahir lagi sudah melabur bersama TH kerana diyakini lembaga tabung itu adalah tempat simpanan selamat dan patuh syariah.

“Besar harapan saya untuk melihat adanya usaha kerajaan hari ini untuk kembalikan TH ke landasan asal,” katanya.