Tun M pilih peguam calon PRK DUN Slim

Tun Mahathir, Amir Khusyairi
Tun Mahathir, Amir Khusyairi
A
A
A

TANJUNG MALIM - Parti baharu yang diterajui bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Amir Khusyairi, 38, diumum bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi berkenaan pada 29 Ogos ini.

Watikah pelantikan sebagai calon itu disampaikan sendiri Mahathir dalam satu majlis memperkenalkan calon PRK DUN Slim di Taman Slim Permata, Slim River di sini malam ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut kelihatan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Amir Khusyairi yang fasih dalam tiga bahasa termasuk Arab mempunyai dua firma guaman di Perak dan Selangor memulakan kariernya sebagai Peguam Syarie dan Peguam Bela pada 2007 dan sehingga kini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan memberi klinik guaman secara percuma.

Dr Mahathir menyampaikan watikah pelantikan calon kepada Amir Khusyairi.
Dr Mahathir menyampaikan watikah pelantikan calon kepada Amir Khusyairi.

Anak pesara guru agama kelahiran Teluk Intan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu aktif dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Peguam dan pernah beberapa kali mewakili delegasi Malaysia ke luar negara.

Beliau ialah Timbalan Bendahari Persatuan Peguam Hartanah Malaysia (Hartaguam) dan menganggotai Jawatankuasa Majlis Peguam di bawah Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Artikel Berkaitan:

Petang tadi, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Slim.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Zaidi calon BN PRK DUN Slim

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas Muhammad Zulfadli Zainal.