Mohd Zaidi calon BN PRK DUN Slim

A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak Sungkai hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mohd Zaidi, 43, merupakan anak tempatan dari Slim Village yang aktif dalam politik serta aktiviti kemasyarakatan dan merupakan Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) sejak tahun lalu hingga kini.

Beliau mula membabitkan diri dalam politik pada 2000 sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Slim Village dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian sebelum memegang jawatan timbalan pada 2018.

Mantan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ini memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, selepas kematian penyandangnya yang juga ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Saarani berkata, Mohd Zaidi dipilih daripada sembilan calon yang dinamakan berdasarkan kriteria calon boleh menang.

"Penilaian dalam kalangan calon-calon yang dinamakan itu adalah hebat-hebat belaka, semuanya memenuhi kriteria dan kelayakan ditetapkan tetapi kita hanya boleh memilih yang terbaik antara yang baik-baik. "Kriterianya mudah sahaja iaitu calon yang boleh menang," katanya.

Menurutnya, dengan pengumuman itu, tugas Mohd Zaidi selaku Pengarah Operasi PRK DUN Slim diambil alih oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Hatta Lodin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Maslan menyifatkan Mohd Zaidi cukup layak diangkat sebagai calon atas pengalamannya dalam parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Beliau sudah lama di kawasan, ada jawatan di cawangan dan bahagian cukup lama, tentunya orang di kawasan ini kenal dengan beliau.

"Beliau juga dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian dalam tempoh lama antara 2013 hingga 2018, ini buktikan betapa beliau rapat dengan arwah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.