Mohd Zaidi tekad kekalkan legasi kemenangan arwah

Mohd Zaidi Aziz
Mohd Zaidi Aziz
A
A
A

TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz bertekad untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan khidmat terbaik sekali gus memastikan legasi kemenangan BN dapat diteruskan di DUN itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan terutama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO dan BN keseluruhannya yang telah memilih saya sebagai calon.

"Saya mohon kepada semua agar bersama-sama menggembeleng tenaga membantu menjayakan kemenangan BN untuk pastikan kemenangan lalu di bawah Allahyarham Mohd Khusairi dapat kita teruskan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Slim oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak Sungkai hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mohd Zaidi, 43, diumum sebagai calon atas kriteria calon boleh menang.

Pemegang ijazah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini merupakan seorang usahawan dan mula membabitkan diri dalam politik pada 2000 sebagai Ketua

Pemuda UMNO Cawangan Slim Village dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pada 2018 lalu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) ini juga bertekad untuk terus memperjuangkan suara penduduk Felda yang merupakan sebahagian besar pengundi DUN berkenaan.

"Kita akan beri khidmat terbaik kepada penduduk Felda di sini dan mengangkat suara mereka supaya apa perkara diminta dan diperlukan dapat dipanjangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi tidak menganggap PRK ini sebagai laluan mudah menang, meskipun BN merekodkan kemenangan bagi empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

"Saya tidak boleh katakan ia mudah kerana ini adat pertandingan, pasti ada berlakunya pertembungan antara BN dengan parti lawan," katanya.