MU perlu lebih tajam tindakan penyudah

Fernandes meneruskan kemaraan Manchester United pada saingan Liga Europa musim ini. Foto: Reuters
Fernandes meneruskan kemaraan Manchester United pada saingan Liga Europa musim ini. Foto: Reuters
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United perlu memperbaiki tindakan penyudah selepas dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan kelab Denmark, FC Copenhagen 1-0 pada aksi suku akhir Liga Europa di Cologne awal pagi tadi.

Menurut pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, anak-anak buahnya perlu memanfaatkan setiap peluang dan lebih tajam pada perlawanan selepas ini bagi merealisasikan misi ke final Liga Europa kelab berkenaan.

"Kami harus lebih berdisiplin, kami harus belajar bersabar kerana pada akhirnya dua elemen itu akan menghasilkan kejayaan untuk semua di kelab ini.

"Kami mencipta deretan peluang peluang yang cukup untuk memenangi perlawanan tapi sebaliknya yang berlaku pada perlawanan ini," kata Solskjaer.

Pada saingan domestik sebelum ini anak buah Solskjaer tewas di separuh akhir Piala Liga dan Piala FA kini berada tahap sama pada saingan tahap dua Eropah ini setelah mengatasi Copenhagen 1-0 pada masa tambahan.

Jentera-jentera Solskjaer memerlukan masa tambahan untuk mendapatkan kemenangan suku akhir menerusi penalti Bruno Fernandes pada minit ke-95.

Biarpun begitu, The Red Devils yang juga juara Liga Europa 2017 tidak kemarau peluang pada perlawanan itu apabila dua percubaan tepat terkena palang gol, dua lagi gol dibatalkan kerana ofsaid disamping ketangkasan penjaga gol Copenhagen, Karl-Johan Johnson di benteng terakhir.

Tambah Solskjaer, "Kami tidak bernasib baik apabila beberapa kali percubaan terkena tiang gol dan keputusan video bantuan pengadil (VAR). Saya tiada masalah kerana keputusan mereka tepat, namun pemain Manchester United seharusnya kena lebih tajam.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu segera memperbaiki banyak aspek. Tetapi jika anda mencipta sebanyak mungkin peluang yang kami lakukan hari ini, kami ingin menjadi lebih klinikal dan cekap serta mendapat jaringan apabila kami memilikinya.

"Walaupun kami mencipta beberapa peluang yang cukup luar biasa, namun kadang-kadang pemain Manchester United kelihatan seperti budak-budak ingin mengejar bola. Biarpun begitu terdapat juga pemain khasnya pertahanan dan penjaga gol yang sudah beraksi pada tahap terbaik masing-masing."

Menanti pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolves atau jagoan La Liga, Sevilla akan mengisi salah satu slot peringkat empat terakhir, Solskjaer tetap mengatakan bahawa pemain kelab itu akan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi walaupun memasuki peringkat empat terakhir yang cukup memenatkan.

Solskjaer berkata: "Saya sangat gembira apabila Manchester United berada di separuh akhir sekali lagi kerana musim ini kami pernah dua kali menjejakkan kaki separuh akhir.

"Sekarang tiba masanya untuk mengambil langkah seterusnya dan mara ke final dan semoga berjaya."

"Jadi sama ada Wolves atau Sevilla, pada saya kedua-dua kelab ini adalah bagus kerana mereka berada pada tahap terbaik."