X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Said persoal agihan peruntukan bantuan Covid-19

Ahmad
A
A

KUALA TERENGGANU - Sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 hari ini panas apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan keikhlasan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO di Terengganu.

Pengerusi UMNO Terengganu itu menyuarakan rasa hati itu kerana kecewa dengan agihan peruntukan yang tidak adil.

Beliau berkata, ia susulan agihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani krisis wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri yang tidak diberikan secara sama rata kepada wakil rakyat.

“Saya bandingkan dengan kerajaan Pahang dan Perlis yang dibimbing Barisan Nasional (BN) yang membahagikannya sama rata sama ada wakil rakyat UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebagainya kerana ia melibatkan hak rakyat.

“Sesuai dengan hasrat yang disebutkan oleh wakil rakyat Wakaf Mempelam, peruntukan ini bukan hak wakil rakyat kerana ia hak rakyat. Kalau hak rakyat, kena bahagikan semua kepada rakyat (yang layak),” katanya.

Ahmad ketika ditemui selepas sesi perbahasan berkata, wakil rakyat UMNO hanya mendapat peruntukan sebanyak RM45,000 berbanding wakil rakyat Pas berjumlah RM350,000 dan RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN yang dikendalikan Pas.

Jelasnya, di Perlis dan Pahang, peruntukan itu diagihkan sama rata namun tidak di Terengganu kerana tiada perbincangan tentang agihan.

“Kerajaan negeri memberikan peruntukan RM350,000 kepada wakil rakyat Pas, RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN Pas dan RM45,000 kepada wakil rakyat UMNO. Dicampur lagi dengan RM100,000 (peruntukan kerajaan Pusat yang boleh dibelanjakan untuk bantuan am), jadi maknanya wakil rakyat Pas ada RM450,000.

“Dengan peruntukan terhad dan peruntukan Pusat, saya belanjakan untuk rakyat DUN Kijal seramai 11,502 keluarga. Semua dapat, tiada yang berkecuali termasuk MPKK dapat. Cuma seorang sahaja yang tidak mahu terima, saya okey kalau tidak mahu terima,” katanya.

Ahmad berkata, setelah beliau 'bising' menyuarakan isu peruntukan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjumpanya dan dua hari selepas pertemuan itu, beliau mendapat surat daripada pejabat daerah yang memaklumkan wakil rakyat BN mendapat peruntukan RM45,000 untuk Covid-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mengambil kesempatan dan hak rakyat perlu diberikan kepada rakyat.

“Kalau peruntukan kerajaan negeri, saya tidak pertikaikan sebab memang diperintah Pas, tapi ini peruntukan kerajaan Pusat, kena beri semua,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!