Ahmad akur jika nama digugurkan pada PRU15

Ahmad
Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akur sekiranya nama beliau tidak tersenarai sebagai calon mana-mana kerusi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahmad berkata, sebagai ahli parti, beliau menyerahkan keputusan sama ada kekal atau digugurkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan BN.

“Nak kata macam mana, nasiblah Pengerusi (UMNO Bahagian) sendiri kena gugur,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita di luar dewan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau sedia bertanding untuk kerusi Parlimen selepas sekian lama berada di DUN, Ahmad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Ini saya tidak mahu komen, terpulang kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

UMNO pula memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.

Bagi kerusi DUN pula, Pas memenangi 22 kerusi, manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN pada PRU14.

Artikel Berkaitan: