Malaysia tidak akan jadi 'tong sampah dunia'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan menjadi ‘tong sampah dunia’ dan tindakan tegas akan diambil jika ada cubaan membawa masuk kontena yang mengandungi sisa toksik dan bahan plastik.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak kementerian itu ditubuhkan pada Mac lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya mengesan dan menghantar pulang 13 kontena mengandungi sisa toksik dan 42 kontena bahan plastik ke negara asal.

Katanya, antara negara yang terlibat ialah 21 kontena ke Amerika Syarikat melalui Pelabuhan Kuching, 15 kontena melalui Pelabuhan Pulau Pinang, (manakala) United Kingdom dan Poland (masing-masing) satu kontena, Korea Selatan dan Vietnam (masing-masing) dua kontena dan keseluruhannya 42 kontena.

“Berat keseluruhan kontena itu 796,553kg. Ini yang kami ambil tindakan dan kita bertegas bahawa Malaysia mesti bebas daripada elemen yang bercanggah dengan Konvensyen Basel yang kita tandatangani.

“Baru-baru ini juga saya turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) selepas mendapat maklumat terdapat 110 kontena yang transit di PTP. Kita dalam pengurusan untuk hantar balik ke negara asal iaitu Romania,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu bagaimana Kementerian Alam Sekitar dan Air mencegah Malaysia menjadi 'tong sampah dunia' selaras dengan Konvensyen Basel. - Bernama

Artikel Berkaitan: