Pemilikan Sabah dibangkitkan demi kepentingan politik

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Isu tuntutan Sabah akan dicetuskan dari masa ke masa oleh pemimpin politik di Filipina bagi mendapatkan kepentingan politik di negara mereka walaupun mereka sendiri mengetahui bahawa Sabah adalah milik Malaysia.

Penganalis politik, Dr Jeniri Amir berkata, keadaan berkenaan akan berterusan dan disemarakkan lagi apabila berlaku pergolakan politik di negeri di bawah bayu itu.

Menurutnya, pemimpin di Filipina itu sengaja menyemarakkan kembali isu berkenaan dan juga sebagai satu provokasi terhadap Malaysia khususnya pemimpin di Sabah.

“Pihak terbabit juga seperti menangguk di air keruh malah mereka akan membangkitkan isu ini setiap kali berlaku pergolakan politik (di Sabah).

“Pergolakan dan ketidaktentuan politik di Sabah kini menjadi kesempatan terbaik untuk mereka membangkitkan isu berkenaan yang sebelum ini sudah reda,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada masa sama katanya, pihak yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pula akan menggunakan isu tersebut untuk mempertahankan negeri itu bagi membangkitkan sentimen rakyat bahawa mereka lebih berhak mempertahankan kedaulatan Sabah.

Bagaimanapun katanya, ia tidak mengkhususkan kepada mana-mana parti sebaliknya pihak yang dilihat cuba mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah akan mendapat sokongan rakyat Sabah.

“Sementara pihak berkenaan dilihat cuba 'mengendurkan' isu ini termasuk membenarkan dan melonggarkan kewarganegaraan kepada warga asing yang akan memberikan keuntungan kepada pihak yang memperjuangkan isu ini.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya percaya sentimen ini cuba diadaptasikan kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) dalam usaha meraih undi kerana harus diakui perkara ini sangat sensitif khususnya di pantai timur (Sabah) dan di kawasan pesisiran (pantai),” katanya.

Beliau juga menyifatkan ada 'tangan ghaib' berada di belakang isu berkenaan walaupun sebenarnya ia berpunca daripada pihak berkuasa di Filipina.

“Pihak ini cuba mengocakkan keadaan untuk mendapatkan kepentingan politik walaupun mereka tahu perkara itu sebenarnya sukar.

“Mereka juga mengetahui bahawa pemimpin di Sabah dan Malaysia tidak mahu menjual kedaulatan negara kerana ini soal maruah dan Sabah itu hak milik Malaysia. Jadi sudah pastinya ia harus dipertahankan dengan apa sahaja cara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, parti politik di Sabah perlu mengemukakan naratif politik yang betul dalam konteks isu itu dan mereka perlu berupaya mempertahankan kedaulatan Sabah.