Sila log masuk terlebih dahulu.

Piagam SupaRimau di semua akademi bola sepak

Hamidin Mohd Amin
Hamidin Mohd Amin
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan pelaksanaan piagam akar umbi, dikenali sebagai Piagam SupaRimau FAM dengan hasrat untuk meningkatkan taraf akademi bola sepak negara.

Piagam SupaRimau FAM bertujuan mendorong penyertaan yang lebih besar dalam kalangan akademi bola sepak di Malaysia, sejajar dengan Peta Hala Tuju F:30.

Menurut FAM, Piagam SupaRimau juga menyokong akademi yang menyediakan aktiviti akar umbi berkualiti serta melabur dalam latihan dan pendidikan pemain muda berpotensi tinggi melalui bentuk penghargaan, sekiranya pemain mereka menjadi profesional.

“Ini adalah satu inisiatif dan komitmen FAM untuk meluaskan penyertaan di peringkat akar umbi, sekali gus memajukan peranan akademi mengikut kualiti aktiviti yang dilaksanakan,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan.

Piagam SupaRimau FAM mempunyai akreditasi dan proses penilaian yang bertujuan untuk menyeragamkan proses penstrukturan akademi.

Piagam SupaRimau FAM perlu memenuhi lima kriteria khas iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan untuk mencapai status ahli Piagam SupaRimau FAM.

Piagam SupaRimau FAM dibezakan melalui tiga tahap ahli iaitu Gangsa (asas) yang menekankan pada asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan, manakala Perak (maju) pula mementingkan kelestarian dan pembangunan dan Emas (penanda aras) memfokus pada pertumbuhan dan pengekalan bilangan pemain dan program.

Akademi bola sepak yang berminat boleh mendaftar bersertakan dokumen lengkap untuk dinilai oleh pihak FAM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM, Datuk Subahan Kamal berkata, FAM menerima sebanyak 250 permohonan daripada akademi bagi proses pendaftaran dan penilaian seterusnya.

“Kami menggalakkan semua akademi bola sepak di tanah air untuk berdaftar dengan Piagam SupaRimau FAM, untuk membolehkan ahli menikmati banyak kelebihan yang istimewa,” kata Subahan yang juga Timbalan Presiden FAM.

Sementara itu, antara kelebihan yang diberikan adalah akreditasi yang membolehkan akademi bola sepak menggunakan piagam untuk tujuan promosi dengan mendapat pengiktirafan daripada FAM.

Liga SupaRiamu, juga melayakkan akademik untuk menyertai Liga Akar Umbi FAM yang menyediakan persaingan menyeluruh dan mencorak perjalanan kerjaya pemain.

Selain itu, dalam aspek pampasan latihan pemain, akademi yang melabur dalam latihan dan pendidikan pemain muda diberi pampasan sekiranya salah satu pemainnya berjaya menjadi profesional. (Polisi berkuat kuasa pada tahun 2021. Butiran diterbitkan dalam masa terdekat)

Keistimewaan keahlian juga antara faedah istimewa dan menarik untuk semua jurulatih dan pemain akademi akar umbi bersama rakan premium FAM SupaRimau. - Bernama