UMNO jamin pertahan kerjasama PN

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memberi penerangan sebahagian ahli Parlimen dari parti itu setelah majlis perjumpaan tertutup ahli Parlimen BN bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen petang tadi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memberi penerangan sebahagian ahli Parlimen dari parti itu setelah majlis perjumpaan tertutup ahli Parlimen BN bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen petang tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan mempertahankan semangat setiakawan bersama sekutu-sekutunya dalam pakatan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan penghakiman kes SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga akan menangani keputusan penghakiman ini dengan cara yang terbaik memandangkan ianya telah melalui proses perundangan dalam sistem kehakiman negara.

Menurutnya, adalah amat jelas UMNO dan BN serta kerajaan PN tidak campur tangan dalam proses penghakiman.

"Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid Hamidi beri bayangan UMNO mungkin keluar PN

Najib bersalah atas tujuh pertuduhan

Muhyiddin bertemu pemimpin parti dalam Perikatan Nasional

"Kita akan terus memberi penerangan kepada ahli-ahli mengenai kedudukan perkara sebenar berhubung kes ini.

"Sudah tentu kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim (Mahkamah Tinggi) namun penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan wujudnya kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN turut menganggap penghakiman kes SRC International melibatkan Najib sebagai suatu yang perlu diberi ketelitian dan perhatian serius.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, proses pengadilan di Mahkamah Tinggi sudah selesai tetapi Ahli Parlimen Pekan itu ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman.

"Ianya adalah hak setiap rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara.

"UMNO dan BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur-unsur campur tangan oleh mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Rentetan itu, beberapa pemimpin UMNO meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mencadangkan parti itu keluar daripada kerajaan PN sebagai tanda protes.

Bahkan Ahmad Zahid melalui satu hantaran terdahulu di laman Facebooknya hari ini turut memberi bayangan untuk membawa UMNO dan BN keluar dari kerajaan PN.