Tempoh 72 jam berakhir

Seorang pegawai AS dilihat berkawal di luar pintu masuk ke Konsulat China di Houston semalam. - Foto: Agensi
Seorang pegawai AS dilihat berkawal di luar pintu masuk ke Konsulat China di Houston semalam. - Foto: Agensi
A
A
A
HOUSTON - Ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat selepas kakitangan misi diplomatik di kedua-dua negara terpaksa akur dengan arahan pengusiran yang dikeluarkan Washington dan tindak balas dibuat Beijing.

Di Houston, ejen Persekutuan AS dan pegawai penguatkuasa undang-undang menyerbu Konsulat China di negeri Texas itu selepas tempoh 72 jam yang diberikan kepada mereka untuk meninggalkan premis itu berakhir pada jam 4 petang (waktu tempatan) semalam.

Media tempatan melaporkan beberapa kenderaan SUV, trak dan tiga van putih memasuki kemudahan diplomatik berkenaan dan memecahkan pintu belakang premis terbabit sebelum beberapa kakitangan konsulat itu dilihat meninggalkan premis tersebut dengan menaiki beberapa kenderaan.

Sejurus mereka masuk ke dalam bangunan setinggi lima tingkat itu, dua anggota beruniform Biro Keselamatan Diplomatik di Jabatan Negara AS tiba dan berkawal di pintu dan sekumpulan lelaki lain mengunci pintu di premis tersebut.

Dalam satu kenyataan pegawai AS memberitahu konsulat tersebut terbabit dalam siasatan penipuan melibatkan Institut Penyelidikan Texas.

"Staf di premis terbabit dipercayai terlibat dengan komunikasi secara langsung dengan penyelidik warga China dan mengarahkan mereka untuk mendapatkan jenis maklumat yang diperlukan.

"Aktiviti dilakukan pegawai konsulat China di Houston adalah mikrokosma dan kami percaya ia melibatkan rangkaian individu lebih meluas di lebih 25 bandar," ujarnya.

Di Chengdu, kakitangan di Konsulat AS didakwa telah mula mengemas barangan dan dokumen di premis terbabit sehari selepas Beijing mengambil langkah tindak balas mengarahkan penutupan misi diplomatik terbabit.

Tarikh akhir untuk kakitangan Amerika meninggalkan Chengdu masih tidak jelas namun segala persiapan termasuk menurunkan plak yang diletakkan di hadapan konsulat tersebut turut diturunkan.
Artikel Berkaitan:


Beijing dalam satu kenyataan menyifatkan arahan penutupan Konsulat AS tersebut sebagai tindak balas yang sah dan mendakwa kakitangan di misi diplomatik itu membahayakan keselamatan dan kepentingan China.

'Perang dingin' baharu itu tercetus selepas Washington mendakwa Konsulat China di Houston mencuri rahsia korporat AS dan penyelidikan perubatan dan saintifik eksklusif. - Agensi