Nur Jazlan akui hubungan UMNO, Bersatu tidak kukuh

Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak begitu kukuh meskipun bersama dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Johor salah satu daripada negeri-negeri yang menjadi bukti ketegangan hubungan politik antara kedua-dua parti itu.

Menurutnya, formula pengagihan kerusi yang dipersetujui di peringkat atasan PN tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana di negeri itu tiada pengundi bagi kaum tertentu mendominasi.

"Jika diadakan pilihan raya, UMNO akan mendapat lebih banyak undi berbanding Bersatu dan Pas.

"Tidak banyak kawasan yang menjadi tempat orang Melayu membentuk pengundi majoriti yang benar-benar tinggi," katanya sewaktu diwawancara portal The Malaysian Insight dalam satu laporan hari ini.

Terdahulu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) pernah mendedahkan kerajaan negeri yang kini ditadbir PN hampir bertukar kembali kepada pakatan itu kembali apabila sebahagian wakil rakyat Bersatu bersedia untuk menarik balik sokongan kepada UMNO.

Isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka akan memberi cabaran besar kepada parti-parti dalam gabungan tidak rasmi PN apabila Pas, UMNO dan Bersatu sememangnya dikenali sebagai parti mewakili kaum Melayu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO menyuarakan pendirian untuk mengambil semula mana-mana kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi wakil rakyat Bersatu yang menggunakan tiket UMNO pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut berpendapat Bersatu kena lihat kemampuan dan 'ukur baju di badan sendiri' dalam soal membincangkan isu pembahagian kerusi menjelang PRU15.

Menurutnya, Bersatu perlu menyedari parti itu sendiri mempunyai bilangan ahli yang kurang pada ketika ini dan terpaksa bergantung kepada jentera dan sokongan parti-parti lain dalam PN seperti UMNO.

"UMNO hanya bersedia menyerahkan sesuatu kerusi kepada Bersatu jika ahli parti kawasan itu bersetuju dan rela menghulurkan bantuan.

"Kecuali kawasan yang orang UMNO sendiri nak bagi calon Bersatu dan setuju, contohnya Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin)," katanya.

Nur Jazlan turut mengingatkan Bersatu supaya dapat mengemukakan calon yang berpeluang memenangi sesebuah kerusi ditandingi.

"Kalau berkesan, sokongan daripada UMNO pasti beralih kepada Bersatu. Bersatu kena letak calon yang lebih efektif yang mempunyai peluang menang lebih tinggi.

"Wakil rakyat mereka hari ini tak berjaya tambah kekuatan Bersatu, akhirnya UMNO pula nanti kena bantu calon mereka yang berat untuk diterima oleh rakyat," katanya.