Ubah keputusan pecat Muhyiddin

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti itu pada tahun 2016 sekiranya mahu menerimanya semula.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO menerima kehadiran semula Muhyiddin jika beliau berhasrat menyertai parti itu.

Menurutnya, keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak dalam banyak perkara terutama pembahagian kerusi pilihan raya.

"Kalau ada hasrat (Muhyiddin) kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau.

“Beliau akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang.

“Tiada masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya dalam satu wawancara bersama portal berita, Malaysia Post hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas saranan beberapa pemimpim UMNO supaya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO sekali gus menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, termasuk pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Antara yang menyatakan demikian ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohammed selain Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin dipecat Majlis Tertinggi UMNO daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta pada 24 Jun 2016.

Keputusan pemecatan Muhyiddin itu dipercayai berpunca daripada tindakan beliau mempersoalkan isu skandal 1MDB secara terbuka bersama beberapa pemimpin lain seperti bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh MT UMNO kerana pelanggaran disiplin, iaitu berada di pentas bersama pembangkang menyerang pimpinan dan parti.

Dalam perkembangan lain, Mohamad secara peribadi turut dilaporkan berkata, tiada salah bagi UMNO menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

Menurut beliau, prestasi Muhyiddin dan penerimaan rakyat sepanjang beliau dilantik sebagai Perdana Menteri amat tinggi.

"Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional, tak ada isu.

"Yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya.