10 lelaki dicekup beli nombor ekor
IPOH - Seramai 10 lelaki Islam dicekup Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membeli nombor ramalan menerusi Ops Judi Serentak di beberapa premis di Perak.
Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 19 Julai lalu itu, enam individu ditahan di Teluk Intan manakala masing-masing seorang ditahan di Ipoh, Parit Buntar, Manjung dan Gerik.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 26, Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Perak 1992 atas kesalahan berjudi atau berada di tempat judi.
"Ops Judi ini merupakan operasi membanteras judi besar-besaran secara berkala dilaksanakan JAIPk. Pemeriksaan terhadap premis-premis perjudian sentiasa dilakukan oleh pegawai penguat kuasa JAIPk di seluruh Perak.
"Tujuan operasi judi ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah, dalam masa yang sama dapat mencegah khususnya orang Islam yang terlibat dengan kegiatan perjudian yang dilarang oleh Islam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Akmal berkata, kesemua yang ditahan dilepaskan dengan bon jaminan dan akan didakwa di bawah Seksyen 26 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak.
Menurutnya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, beliau menegaskan umat Islam dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian sama ada secara langsung atau dalam talian.
Menurutnya, bagi perjudian dalam talian, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau dan bertindak mengikut undang-undang sedia ada untuk mengekang aktiviti tersebut.
Katanya, operasi tersebut akan dijalankan dari masa ke masa untuk memastikan umat Islam tidak terlibat dalam aktiviti perjudian itu.