Juruteknik maut rempuh lori tangki MBSP

Kenderaan mangsa merempuh lori tangki MBSP selepas hilang kawalan di Jalan Siram pagi tadi
Kenderaan mangsa merempuh lori tangki MBSP selepas hilang kawalan di Jalan Siram pagi tadi
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang juruteknik maut apabila kenderaannya terbabas dan merempuh sebuah lori tangki milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Siram di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Loh Chee Wei, 48, yang memandu Toyota Avanza dari arah Sungai Nyior ke Jalan Raja Uda dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat kejadian itu kereta mangsa melanggar pembahagi jalan dan merempuh lori tangki MBSP yang menyiram pokok di lokasi kejadian.

"Pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori terbabit cedera ringan di bahagian kaki akibat tersepit.

"Mayat lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan pemandu lori yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syafinaz Abdul Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: