Waspada trend jangkitan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KORONAVIRUS (Covid-19) ialah penyakit berjangkit respiratori baharu yang merebak dengan cepat ke seluruh dunia. Jumlah kes dunia kini hampir kepada 14.5 juta dan jumlah kes tertinggi mengikut negara ialah Amerika Syarikat, Brazil dan India.

Kes harian sehingga kelmarin dilaporkan melebihi 230,000 kes dengan jumlah kematian di seluruh dunia sudah pun melebihi 600,000 kes. Lebih membimbangkan penularan kes jangkitan di kebanyakan negara telah merebak dari bandar besar ke bandar lebih kecil serta kawasan pedalaman.

Malahan di kebanyakan negara, kes harian menunjukkan trend peningkatan. Kelmarin di India, misalnya, mencatat 38,902 kes baharu dalam sehari dengan 543 kematian yang membawa jumlah keseluruhan kepada 1,077,618 kes manakala Amerika Syarikat melaporkan 72,045 kes baharu, sekali gus mencatat rekod kes harian tertinggi sejak pandemik itu bermula dengan jumlah keseluruhan 3.68 juta kes.

Di seluruh dunia, faktor peningkatan kes jangkitan adalah disebabkan antara lain penarikan perintah berkurung di kebanyakan negara dalam usaha pemerintah menggerakkan semula ekonomi, kadar kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) mulai berkurangan khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.