RFID di sembilan plaza tol utara mulai Rabu ini

Sembilan buah plaza tol di laluan Hutan Kampung sehingga Sungai Dua akan disediakan laluan khas RFID mulai Rabu ini. Gambar kecil: Azman
Sembilan buah plaza tol di laluan Hutan Kampung sehingga Sungai Dua akan disediakan laluan khas RFID mulai Rabu ini. Gambar kecil: Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bakal menikmati kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sembilan plaza tol di laluan Hutan Kampung sehingga Sungai Dua mulai Rabu ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan kenderaan penumpang persendirian yang melanggan RFID akan dapat menikmati perjalanan lebih lancar di utara menerusi lorong khas RFID di Plaza Tol Sungai Dua, Bertam, Sungai Petani Selatan, Sungai Petani Utara, Surun, Pendang, Alor Setar Selatan, Alor Setar Utara dan Hutan Kampung.

Menurutnya, teknologi RFID membolehkan transaksi tol dilakukan secara lebih pantas dan seterusnya mengurangkan kesesakan di lorong tol.

"Pada 1 Januari lalu, RFID telah diperkenalkan di 10 buah plaza tol Sistem Terbuka (pembayaran tol berdasarkan jenis kenderaan dan dikenakan setiap kali kenderaan melalui plaza tol) iaitu di Plaza Tol Jitra, Lunas, Kubang Semang, Jambatan Pulau Pinang, Mambau, Lukut, Kempas, Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang.

"Walau bagaimanapun, perancangan PLUS untuk memperkenalkannya di 84 plaza tol Sistem Tertutup (kadar tol berdasarkan jarak perjalanan serta jenis kenderaan dan pembayaran tol hanya dibuat di plaza tol keluar dari lebuh raya) bermula 1 April lalu terpaksa ditunda ekoran wabak Covid-19 di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Senarai pusat pemasangan pelekat MyRFID di Pulau Pinang dan Kedah.
Senarai pusat pemasangan pelekat MyRFID di Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata, sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PLUS telah mula mengadakan pelbagai persediaan untuk melaksanakan RFID.

“Lebih-lebih lagi, transaksi tol melalui sistem RFID tanpa sentuh yang tidak melibatkan pertukaran dan transaksi wang tunai secara fizikal berupaya mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ia dihubungkan terus kepada e-wallet sebagai sumber dana, dan berupaya mengurangkan kejadian baki kurang yang menyumbang kepada kelewatan dan gangguan perjalanan di lorong tol.

"Dengan menambah nilai e-wallet secara dalam talian pada bila-bila masa, pelanggan boleh memainkan peranan mengurangkan interaksi fizikal di plaza tol (akibat baki kurang) dan seterusnya mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, PLUS telah menawarkan Tag RFID percuma selagi stok masih ada di pusat-pusat pemasangan RFID yang terpilih di Pulau Pinang dan Kedah serentak dengan kempen #JomRFID bersempena dengan pelaksanaan Ujian Awam RFID di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua.

Azman berkata, bagi mendapatkan tag RFID percuma ini, pelanggan perlu mendaftarkan diri sebagai ahli PLUSMiles dan melayari https://jomrfid.plusmiles.com.my untuk menerima kod baucar pemasangan percuma.

"Walau bagaimanapun, sekiranya tag RFID percuma sebanyak 1,500 tersebut telah habis, 15,000 pelanggan akan menerima 500 mata ganjaran PLUSMiles apabila mendapatkan tag RFID dengan harga RM35 setiap unit di pusat-pusat pemasangan RFID yang terpilih," katanya.