Aliran trafik di Plaza Tol Gombak perlahan

Aliran trafik perlahan dari Kuala Lumpur menuju ke Plaza Tol Gombak pada jam 6 petang Rabu.
Aliran trafik perlahan dari Kuala Lumpur menuju ke Plaza Tol Gombak pada jam 6 petang Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik dari Kuala Lumpur menuju ke Plaza Tol Gombak mengalami kesesakan lalu lintas susulan orang ramai meninggalkan ibu kota untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian setakat jam 6 petang pada Rabu mendapati kesemua lorong di plaza tol itu sesak berikutan pertambahan jumlah kenderaan memenuhi lebuh raya berkenaan.

Menurut satu hantaran Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di laman sosial Facebook, memaklumkan aliran trafik perlahan dari Kuala Lumpur menuju ke Karak, Pahang.

Seterusnya, aliran trafik juga perlahan dari Gombak menuju ke Genting Sempah berikutan terdapat kemalangan di kilometer 35.3 hala timur.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, aliran trafik lancar di LPT satu bagi kedua-dua hala.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan memaklumkan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), trafik perlahan ke arah utara di Slim River, Perak menuju Sungkai, dan Bidor ke Tapah serta dari Tapah ke Gopeng.

Menurut jurucakap PLUS, aliran trafik perlahan arah utara dari Juru, Pulau Pinang ke Sungai Dua dan dari Jawi ke Bukit Tambun. Trafik turut perlahan dari Sedenak ke Simpang Renggam.

Katanya, bagi arah selatan, trafik perlahan dari Senawang ke Pedas Linggi, Negeri Sembilan. Selain itu, trafik juga perlahan dari Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,sebanyak 5.1 juta kenderaan dijangka memenuhi seluruh lebuh raya sempena sambutan perayaan Aidiladha.

Menurutnya, pertambahan jumlah kenderaan itu akan berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun hingga 3 Julai.