Solat Jumaat dua sesi: Terserah kepada pentadbiran agama negeri

Dr Zulkifli (tengah) menyerahkan bantuan kepada seorang penerima pada Program YADIM Peduli Pasca Musa'adah Covid-19 di Kuala Terengganu hari ini.
Dr Zulkifli (tengah) menyerahkan bantuan kepada seorang penerima pada Program YADIM Peduli Pasca Musa'adah Covid-19 di Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kerajaan menetapkan bahawa solat Jumaat di masjid-masjid di negara ini dikekalkan kepada satu sesi sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun berkata, pelaksanaan solat Jumaat dua sesi tertakluk kepada keputusan pentadbiran agama negeri masing-masing.

Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) baru-baru ini.

Zulkifli berkata, setakat ini pihaknya belum mendengar mana-mana negeri melakukan solat Jumaat secara dua sesi.

"Kita bersetuju prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat hanya dijalankan satu sesi dan itulah yang telah diputuskan. Bagaimanapun, kita besarkan jumlah jemaah mengikut SOP ditetapkan iaitu penjarakan sosial.

"Ruang solat juga tidak terhad dalam dewan masjid sahaja tetapi boleh di ruang tepi masjid, bahkan telah diumumkan bahawa dalam kawasan masjid sekiranya ada khemah dan sejadah, mereka boleh lakukan solat Jumaat.

"Ini yang kita lakukan di Wilayah Persekutuan. Kita tidak akan buat dua sesi di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, hanya satu sesi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program YADIM Peduli Pasca Musa'adah Covid-19 di Dewan Terbuka Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini.

Sebelum ini, Wilayah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan solat Jumaat satu sesi sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Khas MKI.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana pelaksanaan solat Jumaat kepada satu sesi lebih bertepatan kepada mazhab Shafie selain mengambil kira faktor lain.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Zulkifli menyerahkan bantuan kepada kumpulan masyarakat B40 dan miskin dalam kalangan nelayan yang terkesan dengan Covid-19.

Turut hadir, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan dan Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Hilmi Harun.