X

Kindly register in order to view this article
!

Al Jazeera: Pihak berkuasa berkaitan dipanggil

Huzir Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil beberapa pihak berkuasa berkaitan untuk merakam percakapan berhubung penyiaran sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika penularan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua pihak terlibat yang dipanggil itu adalah untuk membuat pengesahan daripada segi kelulusan dan kebenaran berhubung penyiaran dokumentari berkenaan.

Beliau berkata, antaranya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa sekiranya dokumentari yang disiarkan Al Jazeera itu ada melanggar hak asasi ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebaliknya.

“Kesemua pihak berkuasa berkaitan akan dipanggil dalam tempoh terdekat ini.

“Selain itu, di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kami ingin tahu objektif dan pengoperasian pihak berkuasa terlibat dalam mengawal penularan Covid-19 terhadap pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Laporan Al Jazeera cenderung burukkan Malaysia: KPN

Huzir berkata, PDRM perlu mendapatkan segala rakaman percakapan dan dokumen berkaitan daripada pihak terlibat.

“Kami hendak melihat sekiranya dakwaan yang dinyatakan pihak Al Jazeera di sepanjang tempoh PKP, PKPD dan PKPB ini adakah benar atau sebaliknya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN - Enam petugas Al Jazeera selesai beri keterangan

Selain itu, Huzir berkata, pihaknya telah selesai merakam keterangan enam kakitangan Al Jazeera bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!