Kemenangan Muhyiddin beri kesan besar

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kemenangan tanpa bertanding Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan perkara positif yang mampu memberikan kesan besar kepada penyatuan parti-parti Melayu di negara ini.

Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, biarpun kemenangan itu adalah secara teknikal namun Perdana Menteri sebenarnya sudah mampu menyatukan parti-parti Melayu terbesar iaitu Pas, UMNO, Bersatu dan PKR sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja dapat dilihat di Semenanjung tetapi juga berlaku di Sabah dan Sarawak.

"Parti-parti Melayu ini melihat Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mampu menyatukan mereka (parti-parti Melayu). Soal kemenangan jawatan ini tidak penting sangat tetapi mereka melihat kepada kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri yang semakin diterima baik oleh pemimpin termasuk rakyat di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin menang tanpa bertanding jawatan Presiden Bersatu

"Rakyat bersyukur kerana melihat inilah pemimpin yang boleh menyatukan orang-orang Melayu termasuklah juga yang bukan Melayu di negara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Suhaimi berkata, sebelum ini timbul kebimbangan dalam kalangan parti bukan Melayu dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana beliau dianggap sebagai seorang pejuang kaum Melayu.

Namun perkara tersebut dinafikan melalui tindakannya sepanjang tempoh melawan pandemik Covid-19 apabila bantuan dihulurkan kepada semua rakyat berbilang kaum yang layak termasuk pengumuman pakej-pakej rangsangan ekonomi yang memberikan manfaat kepada semua lapisan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja orang Melayu terbela tetapi kaum-kaum lain juga diberikan perhatian. Mereka gembira dengan keprihatinan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri," katanya.