Noh sokong Selangor laksana semula SMUE

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor menyokong usaha kerajaan Selangor melaksanakan semula pemberian wang khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya sentiasa menyokong segala bentuk bantuan atau program yang baik untuk rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Selangor perlu lebih konsisten dalam setiap bantuan yang dihulurkan termasuk SMUE yang dihentikan pada Mei tahun lalu.

"Saya mengalukan SMUE ini dilaksanakan semula, tetapi menjadi tanda tanya kenapa Selangor yang menjadi negeri maju dan kaya menghentikan skim baik ini?" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di lapan rumah mangsa ribut di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri lebih ikhlas dalam penyaluran bantuan kepada rakyat.

"Janganlah skim ini dijadikan sebagai pancing undi pula terutama dalam keadaan ura-ura berlaku pembubaran Parlimen... mereka pula sibuk hendak turun padang tolong rakyat.

"Saya sokong program yang baik untuk rakyat, tapi kena berterusanlah, jangan sekejap ada sekejap tak ada macam sabut timbul dan tenggelam," katanya.

Artikel Berkaitan: