MH17: Malaysia tidak putus asa cari pembelaan

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia tidak akan berputus asa, malah akan terus komited untuk mencari pembelaan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH17 yang ditembak jatuh sehingga menyebabkan kesemuanya terbunuh dalam kejadian enam tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penyiasatan dan perbicaraan untuk menuntut keadilan insiden berkenaan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

"Malah, ia tidak boleh tunduk dengan desakan politik oleh mana-mana pihak atau negara," katanya.

Menurutnya, hanya ketegasan undang-undang yang mampu mengadili perlakuan jahat oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan.

"Undang-undang juga diharap dapat mengembalikan kehormatan terhadap mangsa korban serta saudara-mara mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Ka Siong berkata, semua negara yang terlibat dalam insiden berkenaan diminta agar memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) selaras dengan Resolusi UNSC 2166.

"Ketika dunia mengingati tahun ini sebagai sebagai tahun keenam insiden tragis yang menimpa penerbangan MH17, Malaysia masih kekal bersolidariti bersama saudara-mara kepada 298 mangsa termasuk anak kapal dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik ketika perbicaraan di mahkamah," katanya.

Ka Siong berkata, Malaysia mengulangi komitmen untuk kekal sebagai sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) terhadap proses keadilan yang dilakukan agar ia dapat dijalankan secara telus berdasarkan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

Artikel Berkaitan:

"Ingatan dan doa kami akan sentiasa bersama mangsa dan orang yang mereka sayangi," katanya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Laporan JIT mendedahkan empat individu iaitu Igor Gerkin, Sergey Dubinsky, Oieg Pulatov dari Rusia, manakala Leonid Kharchenko yang merupakan seorang warganegara Ukraine bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Ketika kejadian, suspek dipercayai bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (PDR).

Malah, Igor Girkin digelar Menteri Pertahanan untuk wilayah Donetsk.

Kesemua mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh pada 9 Mac tahun depan.