X

Kindly register in order to view this article
!

Wan Kuzri pertaruh pengalaman

Wan Kuzri giat menjalani sesi latihan dalam Kem Latihan Pusat Skuad B-19 di Wisma FAM hari ini. - Foto Bernama
A
A

PEMAIN Akademi Kelab Bola Sepak Saint Louis, Wan Kuzri Wan Kamal yakin mampu beraksi cemerlang bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) sekiranya terpilih menggalas cabaran negara pada Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan 2020, Oktober ini.

Wan Kuzri berkata, dia yang menunggu panggilan untuk menjalani latihan bersama skuad negara sejak sekian lama berharap aksinya mampu menarik minat pengendali skuad B-19, Brad Maloney.

Menurutnya, dia akan menggunakan pengalaman beraksi di Amerika Syarikat (AS) membantu skuad negara.

“Saya rasa sungguh dihargai jika berpeluang mewakili Malaysia mahu pun Amerika Syarikat. Walaupun sebenarnya tidak banyak yang saya tahu mengenai skuad negara, tetapi saya datang ke sini dengan fikiran yang terbuka dan berharap mampu menyesuaikan diri dengan pasukan.

“Bagi saya, sukan bola sepak adalah satu sukan yang universal dan oleh sebab itu rasanya saya boleh mempamerkan aksi sama sebagaimana ketika di Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Katanya, saingan bola sepak di Amerika Syarikat lebih banyak melibatkan aksi fizikal dan disebabkan perkara berkenaan, dia yakin mampu untuk menggunakan pengalaman berkenaan bagi membantu skuad negara.

“Di Amerika Syarikat, saya sering berdepan dengan aksi berbentuk fizikal dengan pemain-pemain lain. Oleh itu, diharapkan ia dapat membantu saya dan juga pasukan kali ini.

“Mungkin yang akan membandingkan saya dengan abang saya, Wan Kuzain, tetapi kami sebenarnya pemain yang berbeza. Saya rasa saya pemain yang kreatif dan boleh menjaringkan banyak gol kepada pasukan,” katanya.

Sementara itu, Wan Kuzri berkata, dia memanfaatkan tempoh kuarantin selama 14 hari sebelum ini dengan melakukan senaman bagi mengekalkan tahap kecergasan sebelum menyertai latihan.

Katanya, dia juga cuba menyesuaikan diri dengan tempoh waktu yang disifatkannya agak berbeza berbanding di Amerika Syarikat.

“Selama tempoh kuarantin, saya banyak habiskan masa dengan tidur. Tetapi saya juga melakukan aktiviti-aktiviti senaman bagi mengekalkan kecergasan saya sebelum mengikuti latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang lain,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus