Gara-gara RM50, penyewa diacu pisau

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengamuk memecahkan meja dan kerusi serta peralatan berniaga seorang penyewa kedai milik ibunya kerana tidak diberikan wang RM50 dalam kejadian di Padang Midin, Sabtu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu mangsa tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran lelaki berkenaan yang meminta wang RM50 konon untuk membaiki keretanya.

Sumber berkata, suspek berusia 39 tahun turut mengugut mahu memukul lelaki berusia 38 tahun itu sambil mengacu sebilah pisau.

Kata sumber itu, bagaimanapun mangsa yang bertegas tidak mahu memberikan wang menyebabkan suspek marah dan memecahkan kerusi serta menendang jeriji pintu sehingga rosak.

"Suspek juga memberitahu mangsa yang kedai itu miliknya sebelum lebih agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau lalu mengacukan ke arah mangsa dan mengugut akan mencederakannya sebelum beredar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber, mangsa mendakwa kejadian seperti itu bukan pertama kali berlaku malah sudah kerap terjadi sepanjang tempoh dia menyewa di kedai berkenaan.

"Tidak tahan sering diugut, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya suspek ditahan sehari selepas laporan dibuat (Ahad) lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.