X

Kindly register in order to view this article
!

Pergi selamanya selepas hilang seketika daripada pandangan

Paparan Instagram Dalila tular di laman sosial.
A
A

JITRA - "Luruh jantung saya, macam tidak percaya yang terbaring itu ialah suami saya, tangan kaki saya terketar-ketar. Nampak darah banyak mengalir dari kepala, padahal baru sahaja lihat dia tunggang motor depan mata."

Demikian kata, Nur Dalila Zolkofli, 27, ketika menceritakan semula kejadian kemalangan yang mengorbankan Allahyarham suaminya, Ahmad Faizal Abd Gani, 27, di Kuantan pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, Dalila menemani Allahyarham suaminya membeli sebuah motosikal jenis Yamaha R15 terpakai yang menjadi idaman arwah sebelum mendirikan rumah tangga.

"Semasa pulang, saya ekori arwah dari belakang dengan memandu kereta dan merakam momen arwah menunggang motor guna telefon bimbit.

"Selang beberapa minit arwah hilang daripada pandangan. Ketika itu, saya mula risau bila lihat jalan sesak dan masa sampai lokasi kemalangan saya terkejut melihat orang ramai mengangkat motosikal arwah suami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalila bersama arwah suaminya, Ahmad Faizal.
Dalila bersama arwah suaminya, Ahmad Faizal.

Dalila yang bertugas di klinik pergigian di Kuantan berkata, ketika itu dia melihat suami terbaring atas jalan raya.

"Semasa melihat arwah suami, saya meraung sebab tak dapat terima kenyataan. Keadaan arwah suami waktu itu nyawa-nyawa ikan dan separuh sedar, arwah kemudiannya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Afzan.

"Arwah meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari Sabtu lalu akibat kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian, suaminya yang bertugas sebagai juru x-ray di Kuantan sempat memegang tangannya dengan erat seolah-olah tidak mahu melepaskannya ketika mahu pergi bekerja.

"Suami seorang penyayang dan romantik, kami hampir dua tahun berkahwin dan masih lagi belajar kenal antara satu sama lain.

"Arwah banyak tolak ansur dan semua kerja di rumah kami buat sama-sama. Arwah memang suka pegang tangan saya tidak kira di mana. Lepas dia tiada, saya merindui gelak tawanya, senyumannya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia tidak menyangka luahan pemergian suami menerusi Instagram tersebar dan mendapat perhatian ramai.

"Pada mulanya agak tidak selesa tetapi bila baca semua memberi komen positif dan ramai mendoakan arwah, saya bersyukur. Sekarang saya lebih kuat untuk harungi dugaan ini," katanya.

Jenazah Ahmad Faizal selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Baloh, Pendang jam 3 pagi pada Ahad lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus