Naluri bapa jadi kenyataan

Rahim dan isteri, Rohapishah Abdullah menunjukkan gambar Nora dan Nurul dalam simpanannya.
Rahim dan isteri, Rohapishah Abdullah menunjukkan gambar Nora dan Nurul dalam simpanannya.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMASKINI] Naluri seorang bapa yang kuat mengatakan anak dan bekas isteri masih hidup benar-benar menjadi kenyataan apabila dua beranak itu dapat bertemu secara maya selepas 16 tahun terpisah.

Rahim Said, 52, dari Kulim berkata, sejak terpisah 16 tahun lalu, terdetik di hatinya mengatakan anak dan bekas isterinya masih hidup walaupun dikhabarkan terkorban dalam tragedi tsunami di Acheh pada tahun 2004.

Dia yang merupakan pengusaha Popiah Basah Warisan Pak Ali berkata, dia terputus hubungan dengan bekas isteri, Suryati Ahmad Badawi, 49, yang mesra dipanggil Nora dan anaknya, Nurul Happy Zalindraa, 19, selepas Acheh dilanda tsunami pada 2004.

"Saya tidak pernah putus asa mencari bekas isteri dan anak itu sehingga beberapa tahun.

"Berita yang diterima dari ahli keluarga di sana besar kemungkinan mereka terkorban dalam tragedi tsunami," katanya ketika ditemubual menerusi program Sinar Live hari ini.

Rahim ketika ditemuramah Wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli menerusi Sinar Live hari ini.
Rahim ketika ditemuramah Wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli menerusi Sinar Live hari ini.

Menceritakan kembali detik perpisahan berlaku, Rahim berkata, pada tahun 2000, Nora pulang ke Indonesia untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya.

"Pada masa itu, seluruh ahli keluarga saya turut bersama menghantar Nora yang ketika itu sedang hamil ke lapangan terbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak pernah terlintas di hati untuk mengabaikan tanggungjawab, malah dia bersama keluarga di Malaysia pernah mengadakan majlis tahlil kerana menyangka mereka sudah meninggal dunia.

"Saya berterima kasih kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Nur Lyana Aqilah Ahmad Nasir, 22, kerana berusaha menjejaki saya hanya dalam tempoh tiga jam selepas pencarian dimuat naik di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Penantian 19 tahun berakhir...

Gambar Nurul dan Nora yang berada dalam simpanan keluarga.
Gambar Nurul dan Nora yang berada dalam simpanan keluarga.

"Salah seorang kenalan saya tersenarai dalam 'friendlist' Nur Lyana membolehkan nombor telefon saya mudah diperoleh ketika mahasiswa itu memuat naik berita pencarian dari Acheh," katanya.

Rahim berkata, panggilan telefon dari Nur Lyana yang diterima ketika berada di sebuah pasar raya membuatkannya terduduk dan menangis selain perasaan bercampur sebak dan gembira seakan tidak percaya.

Bagi mengubati kerinduan terhadap anaknya yang dipanggil Nurul, mereka saling berhubung setiap hari menerusi kiriman WhatsApp dan panggilan video.

Katanya, biarpun masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri, namun hubungan antara bapa dan anak masih tetap utuh.

"Kami merancang untuk bertemu di Malaysia setelah wabak koronavirus (Covid-19) reda dan berhasrat untuk membuat kejutan kepada anak dalam pertemuan pertama setelah usianya 19 tahun," katanya.

Rahim menunjukkan rakaman panggilan video yang dibuat kepada Nurul di Acheh.
Rahim menunjukkan rakaman panggilan video yang dibuat kepada Nurul di Acheh.

Menurut Rahim, setakat ini penerimaan keluarganya cukup baik dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyatukan semula anaknya dan bekas isteri.

"Jadi, saya tidak tinggal mereka sebagaimana didakwa dalam laporan blog sehingga meninggalkan kesan tidak baik terhadap keluarga," katanya.

Sebelum ini, tular kisah pertemuan maya antara Rahim dan anaknya, Nurul selepas gadis yang tinggal bersama ibunya di Indonesia itu menyuarakan hasrat mencari bapanya yang terpisah sekian lama.