Murid SK Bukit Bandaraya maut

Athirah Batricesya maut dirempuh teksi ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi. Gambar kanan: Barangan milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya maut selepas motosikal dibonceng, dirempuh sebuah teksi dalam insiden di Jalan Maarof simpang Jalan Tanduk berdekatan Kuil Bangsar, awal pagi tadi.

Sebelum kejadian, mangsa, Athirah Batricesya Azizi, 11, membonceng motosikal Yamaha FZ yang ditunggang abangnya, Amzar Hazieq, 18, dari rumah mereka di Pangsapuri Keretapi Tanah Melayu Berhad untuk ke sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, ketika mangsa dan abangnya tiba di lokasi pada jam 7 pagi, motosikal mereka dirempuh sebuah teksi yang dipandu dari arah Mid Valley.

Beliau berkata, pemandu teksi terbabit memandu di lorong paling kanan sebelum terus memasuki simpang Jalan Tanduk dan melanggar motosikal terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa dan abangnya terjatuh.

"Mangsa yang cedera di bahagian kepala serta anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh paramedik dari Bulan Sabit Merah, sementara abangnya mengalami luka di bahagian kaki kiri," katanya.

Menurutnya, pemandu teksi lelaki berusia 59 tahun pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.