Hotel Permai anjur kempen derma darah

Noralizan
Noralizan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Hotel Permai, di sini mengambil inisiatif menganjurkan kempen derma darah sebagai usaha meningkatkan kesedaran menderma di kalangan masyarakat pada 28 Januari ini di Dewan Berlian, Hotel Permai.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata, program anjuran kali ke-5 itu sebagai tanda sokongan dan kerjasama kepada kempen murni mengumpul darah oleh Unit Tabung Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, menyedari pentingnya kempen ini diadakan, beliau terpanggil untuk memberi kerjasama meneruskan kempen derma darah dan Permai Hotel yang telah beroperasi sejak tahun 1994 merupakan pemain industri pertama yang menganjurkan acara sebegini bagi tahun 2019 ini.

“Objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan jumlah simpanan darah dengan mensasarkan masyarakat setempat termasuk golongan kakitangan kerajaan dan swasta.

“Oleh itu kami menyeru orang ramai yang berumur antara 17 hingga 70 tahun dan sihat tubuh badan agar datang ke acara ini kerana satu beg darah yang didermakan itu mampu menyelamatkan tiga nyawa”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen sehari itu bermula dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang dan selain menderma darah, orang ramai yang hadir turut berpeluang melakukan saringan kesihatan dan mendengar ceramah kesihatan.

“Menariknya di acara ini, pihak SALAM Specialist Hospital juga akan turun padang dengan mengadakan sesi penerangan dan soal jawab tentang penjagaan kesihatan dan pemakanan seimbang,” katanya.

Artikel Berkaitan: