X

Kindly register in order to view this article
!

Kos RM468 juta untuk Sukma Johor 2020

Hasni (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai perkembangan pembinaan dan kemudahan di Stadium Olahraga dan Ragbi, Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM468 juta sudah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia dan menaik taraf kemudahan sedia ada untuk penganjuran Sukan Malaysia Johor (Sukma Johor 2020) pada Mac tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, daripada jumlah itu RM325.9 juta adalah daripada kerajaan negeri manakala RM142 juta peruntukan kerajaan Pusat.

"Persiapan semua venue untuk Sukma Johor 2020 sudah mencapai 97 peratus dan selebihnya akan siap hujung tahun ini. Pujian harus diberi kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan semua kemudahan siap mengikut jadual ditetapkan.

"Hasil tinjauan saya hari ini amat berpuas hati dengan kemajuan pembinaan dan menaik taraf semua gelanggang dan fasiliti, malah ada beberapa venue sudah boleh diuji atlet Johor sedikit masa lagi. Johor sudah bersedia untuk Sukma Johor 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan beberapa venue di Stadium Olahraga dan Ragbi, Mount Austin di sini hari ini.

Hasni (kanan) diberi penerangan mengenai perkembangan pembinaan dan kemudahan di Stadium Olahraga dan Ragbi, Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
Hasni (kanan) diberi penerangan mengenai perkembangan pembinaan dan kemudahan di Stadium Olahraga dan Ragbi, Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman.

Kali terakhir Johor menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu adalah pada 1992 manakala Sukma Johor 2020 pula akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.

Sukma ke-20 sepatutnya diadakan pada 11 hingga 19 Julai ini, namun ditunda akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ke satu tarikh baharu yang akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dijadualkan Oktober ini.

Hasni berkata, persiapan Sukma Johor 2020 dilakukan sejak tiga tahun lalu dan membina sembilan venue baharu meliputi Stadium Olahraga dan Ragbi serta Arena Emas di Taman Impian Emas bagi acara pentanque, boling padang, skuasy dan memanah.

"Mercu tanda baharu di negeri ini iaitu Velldrom Johor yang terletak di Iskandar Puteri," katanya.

Sementara itu, Mohd Noorazam berkata, fasiliti Sukma Johor 2020 dengan wajah moden dan berkelas dunia itu akan menjadi tarikan baharu di negeri ini.

Menurutnya, KPRJ yang bertanggungjawab menyiap kemudahan tersebut dapat menyiapkan semua venue untuk Sukma Johor 2020 mengikut jadual sekali gus menepati piawaian antarabangsa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus