X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita Muda Negara lancar kempen bantu ibu tunggal muda

Nurainie Haziqah (duduk, tengah) bersama-sama ahli jawatankuasa Wanita Muda Negara Negeri Perak selepas melancarkannya di sebuah hotel di sini hari ini.
A
A

TAIPING - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara melalui sayapnya, Wanita Muda Negara melancarkan Kempen Sokong Ibu Tunggal Muda hari ini.

Ketua Wanita Muda Negara, Nurainie Haziqah Shafii berkata, kempen yang akan dijalankan secara dalam talian itu bertujuan menyuarakan realiti sebenar kesukaran dihadapi oleh ibu tunggal muda termasuk masalah kewangan, kesihatan mental, penderaan berterusan oleh bekas suami, kekurangan sokongan daripada ahli keluarga serta cabaran membesarkan anak bersendirian.

Katanya, kempen berkenaan dilaksanakan selepas pengalaman berdepan golongan itu yang kes mereka dibicarakan di mahkamah dengan pelbagai masalah.

"Jadi melalui kempen ini kita berharap masalah mereka mendapat perhatian kerajaan dan diangkat menjadi dasar bagi membantu golongan ibu tunggal muda ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penggerak Wanita Muda Negara Peringkat Negeri Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Muda Negara Negeri Perak, Wan Noor Nadhilah Id Azalan Shah.

Sementara itu, Nurainie Haziqah berkata, jumlah ibu tunggal muda yang semakin meningkat itu perlu diberikan perhatian lebih serius oleh kerajaan dan memastikan undang-undang dapat digubal khusus untuk membantu golongan itu.

Beliau berkata, Wanita Muda Negara sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan golongan tersebut dibela sewajarnya.

Menurutnya, kempen tersebut dijangka berlangsung antara tiga hingga empat bulan di seluruh negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus