Tun M umum jadi blok Bebas bersama Warisan

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa mereka akan tetap menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan bersama lima bekas pemimpin Bersatu kepada media hari ini turut memutuskan untuk berada di blok Bebas sama ada di dalam atau di luar Parlimen.

Dr Mahathir berkata, pihaknya masih berpegang kepada cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang mencadangkan Shafie sebagai calon Perdana Menteri, manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II.

“Saya dan rakan-rakan ahli Parlimen Bersatu mengambil ketetapan untuk berpegang pada keputusan yang diambil akhir bulan Jun iaitu untuk menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri.

"Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, ia tidak melibatkan saya dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

“Kami juga membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok Bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan,” katanya dalam kenyataan berkenaan hari ini.

Kenyataan itu dipersetuju Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun bersama empat Ahli Parlimen lain iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Terdahulu, PH mengumumkan bahawa gabungan itu kekal dengan pendirian asal berhubung calon Perdana Menterinya iaitu Anwar selepas berakhirnya mesyuarat Majlis Presiden PH yang turut membincangkan pencalonan Shafie.

Artikel Berkaitan:

Menurut mereka, DAP dan Amanah sewaktu menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu tidak berpegang pada keputusan menamakan Shafie, sebaliknya menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun Dr Mahathir berpandangan bahawa pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil demi meningkatkan hubungan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, pihaknya menentang sebarang usaha menggantikan Speaker Dewan Rakyat dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.