Pesara rugi RM53,500 angkara pelaburan tidak wujud

Bitcoin - Foto Sumber Internet (Gambar kecil: Mohd Wazir)
Bitcoin - Foto Sumber Internet (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang pesara untuk menikmati keuntungan daripada hasil pelaburan saham selama empat tahun berkubur apabila dia sebenarnya ditipu oleh skim pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 60 tahun kerugian RM53,500 akibat menyertai pelaburan itu pada 2017 selepas dipengaruhi oleh seorang rakannya.

"Mangsa berminat selepas diberitahu bahawa duit pelaburan itu ditukarkan kepada bitcoin dalam nilai Dolar AS dan akan masuk ke dalam akaun cyrptogold miliknya. Suspek memaklumkan kepada mangsa, bahawa akan menerima keuntungan berterusan dan wang modal dikembalikan selepas setahun, jika sanggup melabur sebahagian wang simpanannya untuk pelaburan saham tersebut.

"Tanpa berfikir panjang mangsa membuat pemindahan wang sebanyak RM26,500 pada 28 November 2017. Seterusnya pada 24 Januari 2018 mangsa membuat pindahan wang sekali lagi sebanyak RM27,000 ke akaun sama. Namun sehingga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, mangsa masih tidak menerima pulangan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: