Hari Jumaat Hari Jawi

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan hari Jumaat sebagai Hari Jawi sebagai usaha memartabatkan tulisan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu mendapat persetujuan daripada semua jemaah menteri selepas ia diusulkan dalam mesyuarat pada Rabu lalu.

"Sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini, saya menguar-uarkan kempen hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini," katanya.

Menurutnya, bagi menzahirkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi menteri akan menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi.

Tambahnya, penggunaan tulisan Jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini," katanya.

Tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

Ia juga turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebut tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi Bahasa Kebangsaan.

Artikel Berkaitan: