Ahli Parlimen PH tak sokong usul tukar Speaker Dewan Rakyat

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Plus tetap dengan pendirian tidak akan menyokong usul dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mahu mencadangkan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming pada persidangan Parlimen 13 Julai depan.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pembangkang mahu kedua-dua jawatan berkecuali itu dikekalkan kepada penyandang sehingga tamat penggal.

Menurutnya, tindakan kerajaan PH itu bakal menempa sejarah tersendiri apabila membawa usul yang belum pernah berlaku dalam sejarah Parlimen negara.

“Belum pernah lagi Speaker dan timbalannya ditamatkan perkhidmatan di pertengahan penggal, kecuali disebabkan sakit atau meninggal dunia. Kedua-dua tokoh berkenaan menjalankan tugas dengan baik dan banyak melakukan reformasi dalam Parlimen. Tiada alasan menukar mereka secara tiba-tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, apatah lagi nama disebut-sebut sebagai pengganti merupakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun yang dikatakan pilihan utama bagi mengisi jawatan berkenaan.

“Mungkin Azhar sudah jalankan tugasnya dengan baik di SPR dan mereka mahu gantikan dengan individu yang cenderung kepada kerajaan. Bermakna akan ada pula pengganti Azhar di SPR, kita bimbang pertukaran kesemua jawatan berkenaan mempunyai agenda tersembunyi,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan menggantikan mana-mana pihak kerana mereka menjalankan tugas dengan baik sepanjang berkhidmat.

Amiruddin berkata, pada persidangan itu juga bakal menyaksikan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai suara majoriti dalam Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bawa usul persendirian, undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen yang akan berlangsung dari 13 Julai hingga 27 Ogos.

"Usul itu kemungkinan tidak dapat dibentangkan kerana ia biasanya mengutamakan agenda dibawa kerajaan yang dijangka membentangkan RUU Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) dan lain-lain usul termasuk menggantikan Speaker/Timbalan Dewan Rakyat.

"Usul persendirian hanya akan dibentangkan setelah selesai urusan kerajaan, seperti berlaku pada RUU355 yang tidak sempat dibincang kerana urusan kerajaan didahulukan,” katanya.

Menurutnya, banyak agenda sepatutnya dibincangkan di Parlimen pada Mei, namun kerajaan memilih untuk tidak mengadakan sesi akibat penularan koronavirus (Covid-19).

“Sesi Parlimen dan berbahas sepatutnya boleh diadakan secara dalam talian pada Mei namun hanya diadakan sesi perasmian sehari, kita akur dan akan bawa kembali usul sama pada minggu depan,” katanya.

Pada awal Mei, Dr Mahathir memfailkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin setelah Presiden Bersatu itu terlibat dalam Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu yang membawa kepada jatuhnya kerajaan PH.

Dalam usulnya, Dr Mahathir mengatakan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti Dewan Rakyat. Usul itu ditangguhkan ke persidangan Julai, selepas persidangan sehari pada 18 Mei hanya menampilkan titah pembukaan Yang di-Pertuan Agong.

Awal bulan ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH Plus, iaitu gabungan tidak rasmi melibatkan PH, Warisan dan kem Dr Mahathir, mempunyai 107 daripada 222 sokongan Ahli Parlimen.