Ayam mati bergelimpangan diserang anjing liar

Ayam ditemui mati akibat digigit anjing.
Ayam ditemui mati akibat digigit anjing.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kira-kira 40 ekor ayam kampung mati bergelimpangan akibat diserang sekumpulan anjing liar dalam kejadian di Jalan Sungai Lias Baroh di sini hari ini.

Pemiliknya, Hasim Kamarudin, 35, berkata, kejadian jam 4 pagi tadi itu disedarinya apabila terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising dari reban ayam yang terletak di belakang rumahnya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum terkejut melihat puluhan ayam mati akibat digigit sekumpulan anjing.

"Saya nampak lebih enam ekor anjing liar berada dalam reban ayam dan tak sangka kebanyakan ayam mati akibat digigit anjing. Anjing ini dipercayai datang dari taman dan hutan berhampiran," katanya kepada Sinar Harian.

Hasim berkata, kejadian serangan anjing itu kerap berlaku dan kejadian ini paling teruk hingga mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM1, 000.

"Saya rasa ini kejadian kali kelima reban ayam saya dimasuki anjing," katanya.

Hasim menunjukkan bangkai ayam mati digigit anjing liar dibakar untuk tujuan pelupusan.
Hasim menunjukkan bangkai ayam mati digigit anjing liar dibakar untuk tujuan pelupusan.

Menurutnya, dia merancang menjual ayam kampung itu yang sering mendapat sambutan terutama semasa perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya jualan masa musim perayaan memang mendapat permintaan tinggi dan bercadang menjualnya untuk menambah pendapatan," katanya yang menjual ayam kampung pada harga RM20 seekor.

Seorang rakannya, Nor Faizal Rahim, 32, berkata, dia juga pernah mengalami kerugian ribuan ringgit apabila arnab ternakannya menjadi mangsa kumpulan anjing liar kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, sebanyak 20 arnab belaannya mati akibat digigit anjing hingga dia memindahkan arnab ke dalam kandang kambing yang lebih tinggi.

"Saya memindahkan sementara arnab di kandang kambing yang lebih tinggi kerana tidak tahan dengan serangan anjing yang mengganas pada awal pagi.

"Ketika ini saya sedang bina reban arnab berpagar dan sebelum reban ini siap, saya pindahkan sementara di kandang kambing berhampiran," katanya.

Justeru, menurutnya pihaknya meminta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dapat mengambil tindakan dalam menangani isu kumpulan anjing liar yang menyerang haiwan ternakan penduduk.

"Kami juga berharap agar mana-mana jabatan kerajaan berkaitan membantu kami terutama apabila melibatkan kerugian ribuan ringgit," katanya.