X

Kindly register in order to view this article
!

Wartawan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman minggu ini

Dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali dan wartawan Al Jazeera akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menghubungi beberapa individu berkaitan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Mereka akan dipanggil memberi keterangan pada minggu ini dan awal minggu depan,” katanya ringkas kepada Bernama.

Beliau turut mengesahkan seorang aktivis sosial dipanggil semalam dan keterangannya sudah diambil di IPD Putrajaya bagi membantu siasatan susulan kenyataan di Facebooknya berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen.

Katanya, pihaknya turut akan memanggil seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Rayhan Kabir yang terbabit dalam dokumentari itu.

Mior Faridalathrash berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lima laporan polis diterima berhubung laporan dokumentari agensi berita antarabangsa itu dan pihaknya mengenal pasti beberapa individu yang terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman panggil Al Jazeera


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus