China, India sepakat redakan ketegangan di sempadan

China dan India mencapai kesepakatan untuk meredakan ketegangan yang tercetus di sempadan kedua-dua negara itu.
China dan India mencapai kesepakatan untuk meredakan ketegangan yang tercetus di sempadan kedua-dua negara itu.
A
A
A

BEIJING - China dan India pada Ahad mencapai kesepakatan untuk meredakan ketegangan yang tercetus di sempadan kedua-dua negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan menerusi telefon antara Menteri Luar China, Wang Yi dan Perwakilan Khas India, Ajit Doval.

Wang berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik China-India, hubungan dua hala kedua-dua negara mengalami turun naik dan pembangunan yang berlaku hari ini tidak datang dengan mudah.

Berhubung insiden di Lembah Galwan, di barat sempadan China-India, kesan kejadian itu sangat jelas, dan menurutnya China akan terus mempertahankan kedaulatan wilayahnya di samping memelihara keamanan serta ketenangan di kawasan sempadan.

Justeru, beliau menggesa kedua-dua pihak mematuhi pertimbangan strategi bahawa China dan India tidak mencetuskan ancaman satu sama lain, mengambil berat situasi kompleks yang melanda hubungan dua hala, dan bekerjasama mengatasinya secepat mungkin.

Yi turut menyuarakan harapannya supaya India melindungi dan mempromosikan kerjasama antara kedua-dua negara, menghindari langkah yang boleh menyulitkan lagi perselisihan serta bersama-sama melindungi keseluruhan hubungan.

Antara kesepakatan itu ialah kedua-dua pihak bersetuju mematuhi konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara dan bersependapat persoalan sempadan perlu diletakkan pada posisi sesuai dalam hubungan dua hala untuk mengelakkan perbezaan yang boleh mencetuskan perselisihan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengukuhkan lagi komunikasi melalui rundingan dan mesyuarat membabitkan perwakilan khas serta mengelakkan kejadian sama berulang selain menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam rundingan ketenteraan dan diplomatik baru-baru ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: