Penamatan projek SKIN berkuatkuasa hari ini

SKIN
SKIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyedia perkhidmatan e-kerajaan, Prestariang Bhd menjelaskan penamatan konsesi projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) kerajaan berkuat kuasa hari ini, dan bukannya 19 Januari seperti yang diumumkan sebelumnya.

Prestariang mengumumkan demikian dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 12 Disember 2018, bahawa anak syarikat milik penuhnya, Prestariang Skin Sdn Bhd (PSkin), telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri mengesahkan keputusan untuk menamatkan projek SKIN, berkuat kuasa 19 Januari 2019.

Dalam makluman lain kepada bursa hari ini, Prestariang berkata, susulan penjelasan dengan kerajaan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa penamatan konsesi itu akan berkuat kuasa hari ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa PSKIN tidak ingkar perjanjian konsesi.

“Bagaimanapun, kami menghormati keputusan kerajaan untuk melaksanakan haknya untuk menamatkan konsesi itu dengan ekspropriasi mengikut terma perjanjian konsesi, dan PSkin tidak berhasrat untuk mencabar penamatan tersebut," katanya.

Prestariang berkata, PSkin layak mendapat pampasan mengikut formula yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan kini dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik. - Bernama

Artikel Berkaitan: