Tarik pembeli durian dengan kostum Spiderman

A
A
A

KUANTAN - Penggemar durian yang singgah di Stesen Minyak Gambang akan bertemu dengan adiwira Spiderman yang sibuk melayan pelanggan membeli raja buah itu.

Mohd Rafiz Rosli, 33, ketika ditemui berkata, idea itu bertujuan memberi kelainan selain strategi jualannya kerana terlalu banyak penjual durian ketika ini.

Menurutnya, sudah beberapa hari beliau berniaga di situ dan jualannya mendapat sambutan daripada penduduk tempatan yang bukan sahaja merakam kenangan tetapi turut membeli durian.

"Situasi itu seperti pesta durian apabila ramai pelanggan berkumpul tetapi saya berpuas hati kerana mereka berbelanja durian saya walaupun hanya sebiji," katanya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, beliau mempunyai tiga pasang kostum adiwira popular iaitu Kapten Amerika, Ultraman dan Spiderman yang dibeli sendiri untuk diperagakan pada program sosial di daerah ini.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengenakan kostum sama ketika menjaja ais krim buatan sendiri di Kampung Hulu Cheka, Jerantut.

Bagaimanapun katanya, perniagaan itu terpaksa diberhentikan kerana penularan wabak koronovirus (Covid-19) dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tiga bulan PKP dan tiada bekerja dan saya sepakat dengan rakan untuk menjaja durian. Jadi, saya cuba cipta kelainan dengan mengenakan kostum Spiderman," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafiz berkata, beliau bersama rakannya, Mohd Razif Ahmad mendapatkan durian Kampung dari Hulu Cheka dan berniaga di kawasan Gambang kerana kurang persaingan di sekitar kawasan berkenaan selain ramai penggemar durian kampung.

"Setiap hari, saya akan memunggah durian seberat 300 kilogram dari kampung di Ulu Cheka ke Gambang dengan jarak perjalanan hampir 300 kilometer setiap hari.

“Kebiasaan durian habis dijual tetapi kalau masih ada baki buah saya akan singgah pula di bandar Temerloh dan Mentakab sebelum pulang dengan puas hati, " katanya.

Mohd Rafiz berkata, beliau hanya menjual durian kampung yang mempunyai ramai penggemar kerana tidak mampu mengeluarkan modal awal untuk membeli durian klon musang king, IOI, Tok Lituk, Duri Hitam dan D24 daripada pekebun kerana kos yang tinggi.

"Apapun saya sangat berterima kasih kepada rakan (Mohd Razif ) yang sanggup mengenepikan rasa 'segan silu' dengan mengenakan kostum Spiderman.

"Ini antara penyebab utama durian kami laris malah dikenali ramai peminat langsung tidak henti-henti menitipkan semangat serta harapan supaya kami berjaya dalam bidang ini," katanya.