Lelaki ugut penguat kuasa DBKL ada masalah mental

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendakwa diganggu seorang lelaki kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan mengeluarkan saman terhadap keretanya yang diletakkan di Jalan Rakyat di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zanuddin @ Hilmi berkata, dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, penguat kuasa berkenaan sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di jalan itu.

“Tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali telah menjerit dan membaling satu gelas yang tidak berisi air, namun mangsa dapat mengelak daripada terkena gelas itu,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Zairulnizam berkata, suspek berusia 37 tahun itu bertindak sedemikian kerana marah kepada penguat kuasa DBKL yang telah memberi saman ke atas keretanya yang diparkir di tepi jalan.

“Lelaki itu kemudian beredar dengan mengalihkan keretanya sambil berkata ‘jaga-jaga’ kepada mangsa.

"Salah seorang petugas DBKL menghubungi polis, selang beberapa minit kemudian, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai masalah mental dan ada rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur.

“Lelaki itu diserahkan kepada keluarganya, kertas enkuari polis telah dibuka untuk siasatan lanjut, kita masih menunggu pengesahan tahap kesihatan lelaki berkenaan daripada pihak hospital,” katanya.

Artikel Berkaitan: