Bot karam: Thailand bantu Malaysia cari dua lagi mangsa

Operasi SAR hari ini diperluaskan ke kawasan ke 450 batu nautika persegi termasuk corak pencarian bertentangan sehingga ke perairan Terengganu di Pulau Perhentian.
Operasi SAR hari ini diperluaskan ke kawasan ke 450 batu nautika persegi termasuk corak pencarian bertentangan sehingga ke perairan Terengganu di Pulau Perhentian.
A
A
A

TUMPAT - Pihak berkuasa Thailand membantu Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot karam dibadai ribut di perairan Kemasin, Bachok pada Isnin lalu.

Mereka yang masih hilang ialah Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kerjasama dilakukan melalui rondaan bersama oleh APMM dan Polis Marin Diraja Thailand (Takbhai) di sempadan negara dalam jarak 10 batu nautika persegi dari Jeti Kastam Pengkalan Kubor.

Katanya, misi pencarian dilakukan sehingga ke kawasan sempadan antara kedua-dua negara dengan mengambil kira mereka berkemungkinan dihanyutkan sehingga ke Bukit Tanjung, Thailand.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) setiap operasi SAR, kami beranggapan mangsa masih lagi hidup dan kami berpegang pada prinsip itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bot terbalik: Kawasan pencarian mangsa hilang dipeluas

“Sehubungan itu pencarian diteruskan dengan mengambil kira segala kemungkinan dan menggunakan semua cara sehingga menemukan mereka,” katanya kepada pemberita ketika rondaan bersama Polis Marin Diraja Thailand (Takbhai) di perairan Sungai Golok, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Marin Diraja Thailand (Takbhai), Mejar Polis Thampapol Chauncham.

Artikel Berkaitan:

Muhd Nur Syam (kiri) bersalaman dengan Thampapol Chauncham ketika mengadakan kerjasama dalam operasi SAR di perairan sempadan dua-dua negara hari ini.
Muhd Nur Syam (kiri) bersalaman dengan Thampapol Chauncham ketika mengadakan kerjasama dalam operasi SAR di perairan sempadan dua-dua negara hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR hari ini diperluaskan ke kawasan ke 450 batu nautika persegi termasuk corak pencarian bertentangan sehingga ke perairan Terengganu di Pulau Perhentian.

“Operasi pencarian membabitkan 15 bot dan 81 anggota termasuk di Pulau Perhentian itu belum menjumpai apa-apa petanda baharu.

“Cuaca hari ini baik dan laut tenang bagaimanapun awan tebal dan apabila berada di tengah-tengah laut, arus serta angin sukar untuk dijangka,” katanya.

Tambah beliau, anggota APMM yang menyertai SAR bertarung nyawa apabila bot mereka hampir tenggelam dibadai ombak setinggi tiga meter ketika operasi petang semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik dipukul ribut dan ombak besar.

Dalam kejadian itu, 12 individu selamat manakala enam meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizan Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an, Shafiq Che Alim, 29, dan Harun Daud, 57.