Pasangan orang asli teruja mengundi dalam suasana 'new normal'

Ku Yu (kanan) bersama isterinya, Beriah menunjuk jari yang dicalit dakwat biru sebagai tanda selesai mengundi di pusat pengundian di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini.
Ku Yu (kanan) bersama isterinya, Beriah menunjuk jari yang dicalit dakwat biru sebagai tanda selesai mengundi di pusat pengundian di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini.
A
A
A

PEKAN - Pasangan Orang Asli Jakon menjadi individu pertama mengundi dalam suasana normal baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini.

Ku Yu Mat, 63, berkata, proses mengundi kali ini berbeza berbanding beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang pernah dilaluinya.

Menurutnya, ini kerana setiap proses membuang undi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya selesa dengan proses pengundi sebegini kerana kita tidak perlu bersesak-sesak seperti sebelum ini.

"Jadi saya harap kaedah sebegini diteruskan sampai bila-bila. Banyak kebaikan saya lihat dari aspek kebersihan di mana saya kena cuci tangan, jaga jarak dan sebagainya. Ini semua bagi mengelak jangkitan koronavirus (Covid-19)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pengundian di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini.

Beriah dicalitkan dakwat biru dengan menggunakan berus sebelum proses membuang undi dilakukan olehnya di pusat pengundian di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini.
Beriah dicalitkan dakwat biru dengan menggunakan berus sebelum proses membuang undi dilakukan olehnya di pusat pengundian di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini.

Sepanjang proses pengundian itu pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa seperti jarak sosial, amalan pemakaian pelitup separuh muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan serta saringan suhu badan.

Ku Yu berkata, jika dahulu pengundi akan mencelup jari telunjuk ke dalam dakwat pilihan raya namun kali ini berbeza apabila mereka perlu menghulurkan jari telunjuk kiri dan dicalitkan dengan berus.

Artikel Berkaitan:

"Saya nampak pegawai yang bertugas begitu menjaga kebersihan dalam mengelak penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, Beriah Mohsin, 65, berkata, beliau gembira kerana sudah selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat untuk mengundi.

"Mengundi tahun ini senang, cepat dan tidak perlu berhimpit-himpit seperti pilihan raya terdahulu.

"Saya suka dengan kaedah ini...walaupun kelihatan menyusahkan kerana banyak proses tetapi saya gembira sebab tidak perlu bersesak-sesak dan semua pengundi beratur seperti yang diarahkan," katanya.