Turki mulakan perbicaraan pembunuhan Jamal Khashoggi

Jamal Khashoggi dibunuh kejam dan tubuhnya turut dikerat-kerat ketika kejadian di Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober 2018. - Foto: Agensi
Jamal Khashoggi dibunuh kejam dan tubuhnya turut dikerat-kerat ketika kejadian di Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober 2018. - Foto: Agensi
A
A
A

ANKARA - Seramai 20 suspek termasuk dua pembantu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dibicarakan tanpa kehadiran mereka di Turki hari ini atas tuduhan melakukan pembunuhan kejam ke atas wartawan terkenal, Jamal Khashoggi pada 2018.

Khashoggi, 59, yang merupakan kolumnis The Washington Post dibunuh di Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018 ketika beliau mahu mendapatkan dokumen untuk perkahwinan bersama tunangnya, Hatice Cengiz.

Pendakwa raya Turki mendakwa Timbalan Ketua Risikan, Ahmed al-Assiri dan penasihat media kerabat diraja, Saud al-Qahtani mengetuai 'operasi' itu.

Mac lalu, mereka berdepan tuduhan secara rasmi menghasut dengan sengaja, menyebabkan pembunuhan mengerikan dan melakukan penyeksaan.

Difahamkan, pendakwa raya telah mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek yang tidak berada di Turki.

Bekas tunang Khashoggi turut hadir perbicaraan itu bersama Pelapor Khas PBB, Agnes Callamard dan Yasin Aktay yang merupakan teman rapat Khashoggi dan penasihat parti pemerintah, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pada Disember lalu, sebuah mahkamah di Riyadh turut menjatuhkan hukuman mati ke atas lima individu manakala tiga lagi dijatuhi hukuman penjara kerana melakukan pembunuhan kejam tersebut, namun perbicaraan itu dilakukan secara tertutup dan nama defendan tidak didedahkan. - AFP

Artikel Berkaitan: